Manfaat Cuka Kayu Pertanian Untuk Tanaman

//Manfaat Cuka Kayu Pertanian Untuk Tanaman

Cuka kayu pertanian adalah produk sampingan yang terhasil daripada pembakaran kayu tanpa udara bagi menghasilkan arang. Cuka kayu bukanlah sama seperti cuka makan yang biasa kita nampak di dapur.

Memang ada cuka kayu yang boleh dimakan. Tetapi dalam artikel kali ini saya bercerita tentang cuka kayu pertanian.

Antara khasiat cuka kayu adalah:

  • Membaiki kualiti tanah
  • Mengurangkan serangan serangga perosak
  • Mampu meningkatkan perkembangan akar, ubi, batang, daun bunga dan buah
  • Menambah bilangan buah terhasil di dusun

Mengikut kajian yang dilakukan di Jepun, cuka kayu asli mengandungi lebih daripada 200 bahan kimia seperti asid asetik, formaldehyde, ethyl-valerate, methanol dan tar. Bahan-bahan ini mampu memberi kesan yang bagus kepada tanaman dan juga tanah.

Secara umum, cuka kayu dapat meningkatkan kualiti tanah, mengawal perosak dan menggalakkan pertumbuhan pokok. Walaupun begitu, jika terlebih dos cuka kayu boleh mendatangkan kesan toksik.
Satu kajian menunjukkan semburan cuka kayu pada dusun buah meningkatkan hasil dusun tersebut berbanding semburan tanpa cuka kayu.

Saintis di Thailand mendapati apabila cuka kayu disembur pada sekeliling tanah tanaman, ia mampu menambah bilangan mikrob baik dan merangsang pertumbuhan akar. Tambahan pula produk sampingan arang kayu ini meningkatkan pertahanan pokok terhadap penyakit.

Cuka kayu selamat untuk digunakan dan tidak memberi kesan buruk kepada manusia.

Cuka kayu ibarat hormon yang akan diserap dalam daun, batang dan akar pokok. Ini seterusnya akan membuatkan tumbuhan lebih kuat, daun menghijau dan rintang pada perosak dan penyakit.

Tempoh penyimpanan cuka kayu boleh mencecah sehingga 5 tahun lamanya.

Cara Membuat Cuka Kayu

Bagi memahami komponen dalam cuka kayu dan bagaimana ia bertindak adalah lebih elok jika kita faham bagaimana cara cuka kayu dihasilkan.

Bahan utama dalam kayu adalah serat, selulosa, hemiselulosa dan lignin. Apabila sebatian ini dibakar tanpa udara atau proses ini lebih dikenali sebagai pirolisis, beberapa sebatian baharu terbentuk. Jenis sebatian yang terbentuk bergantung pada ketinggian suhu api tersebut.

Cuka Kayu Arang Bakau Malaysia

Pembakaran kayu bakau untuk dijadikan arang menghasilkan produk sampingan iaitu cuka kayu.

Semasa proses pembakaran ini berlaku, selulosa dipirolisis dahulu dan diikuti lignin.

Proses pengkarbonan ini dapat dilihat secara fizikal melalui asap yang keluar dari kebuk pembakaran. Bermula dengan asap putih, asap akrid, asap tajam dan asap keungguan. Setiap warna asap ini menjadi tanda setiap tahap proses pembakaran arang.

Apabila asap ini keluar dari corong kebuk pembakaran, lalu menyejuk membentuk cuka kayu.

Fungsi dan Kebaikan Cuka Kayu

Cuka kayu mengandungi pelbagai bahan aktif di dalamnya. Ini membezakan ia daripada bahan kimia pertanian yang ada 2 atau 3 sahaja bahan aktif. Jika kita nak bandingkan dengan ubat, cuka kayu boleh dikatakan sebagai ubat herba. Kekuatannya bukan datang daripada satu bahan sahaja tetapi gabungan antara 200 lebih bahan yang ada didalamnya.

Kombinasi inilah membuatkkannya mampu mengawal penyakit dan perosak, meningkatkan bakteria baik, dan membantu perkembangan akar.

Khasiat Manfaat Kelebihan Kebaikan Cuka Kayu Malaysia

Manfaat cuka kayu kepada tanaman

Cuka kayu mudah bercampur dengan racun kimia. Campuran ini membantu mengurangkan penggunaan racun kimia, bagi petani yang masih bergantung padanya.

Manfaat Pada Tumbuhan

  • Bertindak sebagai racun perosak dan racun kulat semula jadi pada tumbuhan
  • Perangsang bagi meningkatkan kadar fotosintesis daun
  • Meningkatkan perkembangan akar dan daun
  • Membaiki penyerapan nutrien melalui akar

Manfaat Pada Kompos

Cuka kayu bagus dalam memperbanyakkan bakteria dalam kompos. Hal ini menjadikan ia sebagai bahan aktivator kompos yang bagus.

Kajian menunjukkan semburan cuka kayu pada kompos mempercepatkan penghasilan kompos sehingga 2 kali ganda. Jika kompos itu mengambil masa 2 bulan untuk terhasil, dengan adanya cuka kayu, hanya perlu satu bulan untuk terbentuk kompos siap.

Mengurangkan Penggunaan Racun Kimia

Di Filipina, petani mendapati cuka kayu mampu mengurangkan kebergantungan pada racun kimia. Mereka mencampurkan cuka kayu separuh daripada jumlah racun yang disyorkan.

Contohnya jika satu tong pam 20 L perlu dimasukkan racun kimia sebanyak 100mL, maka hanya guna 50mL campur dengan 50mL cuka kayu. Petani dapat menjimatkan sehingga 50% jumlah racun yang digunakan.

Gunakanlah Secara Sederhana

Walaupun banyak manfaat, kita janganlah guna cuka kayu pada kepekatan yang berlebihan. Saya boleh beri analogi cuka kayu seperti vitamin kepada manusia. Penggunaan dos yang selalu tidak memberi kesan signifikan malahan boleh jadi merosakkan berbanding yang disyorkan.

Contohnya melalui pemerhatian pada kebun berdekatan kilang penghasilan arang kayu. Tanaman yang ditanam berdekatan 100m tidaklah sesubur tanaman dengan jarak 100-1000m dari kilang.

Ini jelas menunjukkan kesederhanaan itu lebih penting dalam aplikasi cuka kayu pada tanaman.

Panduan Cara Guna Cuka Kayu

Bagi sayur, pokok buah dan pokok bunga, boleh guna nisbah 2:1000. Contohnya 2mL cuka kayu campur dengan 1L air. Jika guna tong pam 20 L, campur dengan 40 mL cuka kayu. Sembur pada daun, batang dan pangkal serta tanah di sekiling pokok.

Semburan hendaklah dibuat seminggu sekali agar dapat memberi kesan yang optimum.
Macam saya, akan set setiap hari Sabtu atau Ahad untuk sembur pokok-pokok saya dengan cuka kayu.

Jika tanaman telah teruk diserang penyakit atau perosak, bolehlah kita membuat penyemburan lebih kerap seperti 2-3 kali semburan dalam seminggu.

Kalau ada baja cecair lain lagi elok campur.

Perlu ingat bahawa cuka kayu sendiri tidak lengkap bagi memberi kesuburan optimal pada tumbuhan. Gabungan cuka kayu dan baja organik mampu memberi hasil yang maksimum.

Izham Alias adalah graduan Bacelor Sains Hortikultur, UPM Serdang. Konsultan, penulis dan pensyarah pertanian di Kolej Komuniti. Kemahiran menulis dan berkebun beliau membolehkan beliau menyampai ilmu pertanian berkesan kepada pembaca secara online. Beliau juga mengadakan seminar dan bengkel berkebun untuk 'home gardeners' atas permintaan. Boleh terus berhubung dengannya melalui emel [email protected]

By |2018-09-27T21:52:25+00:00September 24th, 2018|Blog|1 Comment

One Comment

  1. Abu Bakar (Asche Brennen) 07/10/2018 at 1:05 am - Reply

    Seperti yang pernah saya kongsikan dlm group whatsapp mengenai cuka kayu, gabungan penggunaannya dengan baja cecair organic baja buah yang ada dlm blog kbjts, hasilnya sangat mengagumkan. En. Izham cubalah dan lihat bagaimana hasilnya.

Leave A Comment

Mahukan Tip Berkebun?
Sertai Emel Kebun Bandar!
Sertai lebih daripada 7,000 orang yang menerima emel tip dan trik berkebun serta maklumat berkaitan KebunBandar terus ke kotak emel mereka!
SAYA MAHU!
Langganan emel ini percuma. Anda boleh berhenti langgan bila-bila anda mahu.
close-link