Siput babi atau nama sedapnya garden snail memang menjadi masalah kepada pekebun macam kita. Walaupun ada kata siput babi ini lambat jalan kerana sambil berjalan asyik fikir, “aku ini babi ke, siput?”. Lawak tersebut tiada kaitan dengan kebun kita.

Tabiat siput babi ini adalah ia jenis haiwan nokturnal. Apakah itu nokturnal? Pernah dengar pasal kehidupan burung hantu? Bilakah burung hantu aktif? Begitu jugalah si siput babi ini.

Sebab itulah apabila kita menanam bibit yang baru bercambah, pada hari itu kita tak nampak apa-apa pelik. Bibit penuh dengan daun. Hanya pada pagi esok sahaja yang kita nampak hanya batang pokok. Fuh, memang sedih, bukan?

Di sini saya kongsikan bagaimana kita si pekebun bandar mampu mengelak serangan siput babi. Pilih salah satu atau boleh buat semuanya sekali.

1. Buang Telur Siput Babi

Kaedah ini adalah yang paling mudah. Kita selalu belek di kebun, kan? Jadi kalau ada nampak telur siput babi itu, bolehlah kutip dan buang. Kata mudahnya terus pecahkan sahaja. Kalau nampak siput babi dewasa atau kecil pun boleh terus kutip dan buang. Saya selalu tabur sahaja sedikit garam pada atas kulitnya.

Telur Siput Babi

Kalau nampak telur siput babi, boleh terus buang atau pecahkan.

2. Lilit dengan kepingan tembaga/aluminium

Secara alaminya, siput babi tidak gemar dengan tembaga. Apabila badannya yang lembut itu terkena tembaga seakan ada kejutan arus elektrik. Kalau tiada tembaga, aluminium pun jadi. Potong dan letak di keliling pangkal pokok.

Cara Petua Halau Bunuh Siput Babi

Letak kepingan tembaga di keliling pokok. Jika tiada, tin aluminium pun boleh.

3. Serbuk Kopi

Selepas minum kopi, jangan kita buang hampasnya. Letak keliling pokok. Selain itu hampas serbuk kopi kaya dengan nitrogen. Kira hal ini sambil menyelam minum air. Dapat elak siput babi dan juga dapat baja kepada pokok secara percuma. Kalau kita jenis tidak minum kopi, seperti saya, boleh pergi ke mana-mana restoran. Minta hampas kopi daripada chef restoran. Biasanya restoran mamak. Kalau tempat anda ada Starbucks, boleh ambil percuma.

4. Garam Epsom

Garam epsom biasanya digunakan untuk kesihatan. Namun tahukah anda garam ini juga banyak digunakan di kebun? Daripada kita tabur garam biasa, lebih baik kita tabur garam epsom. Garam epsom ini kaya dengan magnesium (Mg) yang bagus untuk perkembangan pokok.

5. Cengkerang telur ayam

Cengkerang telur ayam kaya dengan unsur kalsium. Selepas kita goreng telur, jangan buang kulit telur ayam ini. Kita biarkan kering. Sama ada jemur atau masuk ke dalam ketuhar (suhu 40 C selama 10 minit). Kemudian kita ramas sehingga halus. Tabur hasil ramasan tersebut sekeliling pangkal pokok. Kesan tajam pada hujung sisa kulit telur itu tidak digemari oleh siput babi.

Itulah lima cara mudah yang boleh kita amalkan bagi menghalau dan membunuh siput babi di kebun. Jika anda ada cara lain, jangan segan untuk komen. Saya suka membacanya.

Jimat Dari Dapur

Dapatkan Emel Terkini Percuma!

Langgan sekarang dan terima emel berkaitan KebunBandar.com terus ke inbox anda!

*Kami juga membenci spam. Emel anda selamat bersama kami. Anda boleh berhenti langgan bila-bila masa sahaja.