Sebuah kisah

Saya mulakan Kebun Bandar untuk

  • Menyediakan maklumat cara menanam di dalam pasu dengan jayanya
  • Menyokong kesedaran bahawa di Malaysia kita boleh berkebun di bandar

Impian Kebun Bandar

Hanya untuk anda dan sesiapa yang tinggal di bandar supaya boleh:

 

  • tanam sendiri makanan anda seperti buah, sayur dan herba di halaman depan dan belakang rumah, balkoni ataupun di tepi kaki rumah
  • berhenti buang sisa dapur dan gunakan sebagai bahan kebun berharga anda
  • teroka cara mudah tanam sendiri di bandar bersama rakan-rakan bandar anda
  • nikmati rasa dan nutrien yang lebih berkualiti daripada kebun anda
  • jimat masa anda untuk tidak ke pasar

Kebun Bandar menjadi platform untuk:

  • inspirasi anda berkebun di mana jua
  • berkongsi gambar dan kisah berkebun di ruang sekangkang kera
  • menunjukkan bahawa di kawasan yang kecil pun masih boleh menghasilkan makanan

Bermulanya Kebun Bandar dengan:

  • grup sokongan Facebook Kebun Bandar: Jom Tanam Sendiri
  • perkongsian terus daripada ahli KBJTS
  • Bengkel Asas Berkebun dengan mengajar peserta asas-asas untuk terus boleh mula berkebun

Pengasas Kebun Bandar

Nama saya Izham Alias dan saya pengasas kepada Kebun Bandar. Saya mulakan Kebun Bandar untuk menyebarkan ilmu berkebun kepada oraang awam. Saya adalah graduan Bacelor Sains Hortikultur, Universiti Putra Malaysia.

Saya dapati tidak banyak ilmu berkebun di Internet dalam Bahasa Melayu. Apatah lagi yang khusus untuk iklim tropika. Apatah lagi yang bersifat tempatan.

Hortikultur ialah sains dan seni menanam sayur, buah, bunga dan lanskap. Saya mempelajari sains dan seni berkebun selama empat tahun di UPM. Ternyata rugi jika saya tidak sampaikan kepada orang awam.

Saya juga berkebun di rumah sewa. Tidak banyak boleh saya buat tetapi tidak bermaksud tidak langsung saya berkebun. Oleh sebab itu, berkebun di dalam bekas sahaja yang mampu saya lakukan. Sesuai dengan situasi ramai orang di bandar.

Muncul di Media Massa

 

Kisah saya telah terpampang di dada media massa seperti Bernama, Harian Metro dan Kosmo!. Saya juga telah dijemput oleh pihak RTM untuk mengisi slot 15 minit bersama Selamat Pagi Malaysia. Dalam slot itu, saya mengajar sedikit asas bagaimana menyemai dengan betul.

 

 

 

Kenapa Berkebun?

Apabila saya mendalami ilmu hortikultur selama empat tahun, saya mula lihat sekeliling saya sebagai tempat untuk berkebun. Dunia saya terbuka kepada sebarang kemungkinan. Ruang yang kecil di tepi rumah, balkoni, di tepi kaki surau, bahkan di tepi jalan yang luasnya sekangkan kera pun boleh dijadikan tempat yang produktif dengan kebun! Saya sedar ramai yang ingin menanam tetapi tidak tahu bagaimana hendak bermula dan tidak sedar peluang yang ada untuk bercucuk tanam di kawasan hutan konkrit ini.

Kegagalan ketika mula bercucuk tanam adalah kemungkinan tinggi bagi seorang pemula. Dari situ kita belajar dari pengalaman. Pastinya di Kebun Bandar, marilah sama-sama kita belajar pengalaman berkebun itu.