5 Masalah Lazim Pokok Cili dan Penyelesaiannya

/, Perosak/5 Masalah Lazim Pokok Cili dan Penyelesaiannya

Pokok cili adalah antara pokok yang banyak cabarannya. Ia bukanlah tanaman yang mudah ditanam seperti kangkung, bayam dan sawi.

Cabarannya bermula dari semaian sehinggalah menuai. Kalau nasib baik, dapatlah kita gunakan cili itu dalam masakan. Jika tidak, kecewa tidak berlagu.

Sesiapa yang pernah menanamnya pasti akan mengalami lima masalah lazim yang saya nyatakan ini.
Saya berharap panduan mengenalpasti masalah dan cara penyelesaian ini dapat membantu anda sepanjang menanam pokok cili.

1. Buah Busuk dan Gugur

Kita melihat buah cili kita merimbun. Hati kita turut berbunga ingin menuai cili pada masanya. Apabila tiba harinya untuk kita mengutip hasil, kita terkejut. Banyak buah gugur dan busuk. Oh kecewanya hati!

 

Buah Cili Busuk Lalat Buah

Buah cili busuk akibat larva lalat buah (sumber foto: Nik Ismail)

Mengapa hal ini terjadi?

Cuba perhatikan pada buah cili. Koyak dan lihat isi di dalam. Adakah terdapat ulat di dalamnya? Jika betul, itu tandanya pokok cili kita telah diserang lalat buah.

Lalat buah atau Batrocera latifrons menyerang mana-mana pokok berbuah yang ada. Ia akan menyuntik telurnya pada buah. Menariknya, telur lalat buah ini akan menetas tepat pada masa buah mula meranum masak.

Apakah penyelesaiannya?

  1. Gunakan pelekat kuning. Pelekat kuning ini akan menarik dan memerangkap lalat buah.
  2. Sembur racun organik pada awal pagi sepanjang pokok cili berbuah.
  3. Balut buah cili sebaik sahaja putik buah kelihatan
  4. Buang dan bakar buah cili yang telah busuk itu.
  5. Pastikan keadaan sekeliling kebun atau rumah kita bebas daripada buah busuk. Ini tidak kiralah pokok buah-buahan yang lain.

 

2. Bunga Luruh

Adalah normal untuk pokok cili gugur bunganya pada kali pertama berbunga. Tetapi menjadi kerisauan jika lebih daripada tiga kali bunga gugur.

Bunga Cili Luruh

Bunga cili luruh di atas tanah.

Bunga cili boleh gugur akibat kekurangan atau terlebih siraman. Oleh itu pastikan siraman air secukupnya sahaja. Gunakan medium tanah yang sesuai seperti campuran tanah 3:2:1 jika bercucuk tanam di dalam pasu.

Bacaan Tambahan: Campuran Tanah Untuk Pokok Tanam dalam Pasu

Baja merupakan unsur penting agar pokok berbunga dengan banyak. Apabila pokok kekurangan nutrien, maka perkara pertama yang akan pokok buat adalah menggugurkan bunga.

Jadi pastikan kita telah membaja dengan cukup pada pokok cili.

3. Daun Kerinting dan Luruh

Apabila daun kerinting dan luruh, perkara pertama yang biasa saya buat adalah melihat di bawah daun pokok cili terutama daun tua di bahagian bawah pokok.

Masalah Daun Cili Kerinting

Daun cili kerinting adalah simptom pokok telah diserang serangga perosak

Jika dilihat dengan teliti, kita akan nampak bintil-bintil hitam dan warna putih seakan tepung melekat di bawah daun. Itu adalah afid dan lalat putih.

Kedua-dua serangga ini gemar sekali hinggap pada pokok cili. Mereka akan menghisap sap pokok dan seterusnya membuatkan pokok diserang penyakit.

Kehadiran serangga perosak ini membuatkan pokok mula tidak sihat. Kita dapat lihat daun mula kerinting dan gugur. Akhirnya tinggal rangka sahaja tanpa sebarang daun.

Penyelesaian mudah sahaja iaitu dengan kita menyembur racun organik. Sembur di bahagian bawah daun seawal pagi selepas subuh atau lewat petang sebelum maghrib. Kekerapan semburan sebolehnya 3 kali seminggu sehingga serangga hilang dari penglihatan kasar kita.

Bacaan Tambahan: Cara Mudah Buat Racun Organik Dari Bahan Dapur Rumah

 

4. Kehadiran Semut Hitam Pada Pucuk, Bunga, Buah dan Daun Pokok

Semut adalah kawan baik kepada kutu daun atau afid. Apabila saya melihat semut pada sekitar pokok cili, saya tahu itu adalah tanda pokok saya telah dihinggap kutu daun.

Perlu kita rujuk kembali poin nombor 3. Kedatangan serangga perosak dapat dikawal dengan racun organik seperti yang saya nyatakan.

 

5. Pokok Mati Setelah Mula Berbunga atau Berbuah

Soalan pertama saya adalah biji benih diambil dari mana? Jika dijawab dari dapur, tentunya saya akan terus dapat jawapan yang pasti bahawa pokok itu memang mudah mati.

Pokok Cili Layu Bakteria

Pokok cili yang mati diserang penyakit layu bakteria (sumber foto: MARDI)

Buah cili yang kita beli itu adalah buah daripada pokok cili generasi F1. Jadi biji benihya akan tumbuh sebagai generasi F2.

Bacaan Tambahan: Apakah F1 dan F2 dalam pek benih?

Kelemahan utama generasi F2 adalah mudah diserang penyakit dan perosak. Sebab itulah pokok itu mati akibat daripada serangan bakteria pada akar.

Untuk atasi masalah ini, lebih baik kita gunakan biji benih daripada pek benih berkualiti. Biji benih berjenama tentunya telah dipilih dengan teliti oleh pengeluar biji benih agar pokok dapat tumbuh dengan sihat.

 

Itulah 5 panduan ringkas yang dapat saya berikan berkaitan masalah-masalah yang sering pekebun rumah hadapi sepanjang menanam pokok cili.

Jika anda ada pandangan, komen atau persoalan, lontarkanlah di bahagian komen artikel ini. Sama-sama kita bincangkan.

BONUS VIDEO: Panduan Mengenalpasti Masalah Pokok Cili

Masalah Pokok Cili

Dapatkan Emel Terkini Percuma!

Langgan sekarang dan terima emel berkaitan KebunBandar.com terus ke inbox anda!

*Kami juga membenci spam. Emel anda selamat bersama kami. Anda boleh berhenti langgan bila-bila masa sahaja.

Izham Alias adalah graduan Bacelor Sains Hortikultur, UPM Serdang. Konsultan, penulis dan pensyarah pertanian di Kolej Komuniti. Kemahiran menulis dan berkebun beliau membolehkan beliau menyampai ilmu pertanian berkesan kepada pembaca secara online. Beliau juga mengadakan seminar dan bengkel berkebun untuk 'home gardeners' atas permintaan. Boleh terus berhubung dengannya melalui emel [email protected]

By | 2017-08-31T08:27:27+00:00 August 30th, 2017|Blog, Perosak|12 Comments

12 Comments

  1. Yaati Binti Nor 30/08/2017 at 11:24 am - Reply

    Macam mana nak buat racun organik..pokok cili saya kena serang lalat putih tu..kesian tp amsih berbuah..sebab saya petik2 je daun dia buang..

    • Izham Alias 30/08/2017 at 11:33 am - Reply

      Boleh rujuk pada link yang saya beri pada artikel ini. Terima kasih.

  2. Supiati 30/08/2017 at 11:40 am - Reply

    Salam pagi tuan izham..
    Saya ada tanam pkoko cili ..hasil tanaman nys saya dapat juga buah nya…tapi lama kelamaan daun nya jadi kering dan batang nya sensng dipatahkan..saya tengok jugak kenapa senang patah..rupa nya batang nya kering..jadi itu persoalan nya….
    Jadi cadangan tuan izham mengunakan organik untuk semburan inshallah saya akan gunakan tetapi saya tak gunakan minyak dan sabun kerana cuaca di singapura tak menentu kalau panas nya terik sangat sampai pokok jadi layu …jika ia berhasil saya akan kongsi bersama …terima kaseh info nya

    • Izham Alias 30/08/2017 at 11:44 am - Reply

      Berdasarkan penerangan puan itu, jika cukup siraman tetapi pokok masih layu dan daun kering, tanda akar pokok telah diserang bakteria.

      Rujuk kembali poin no 5 berkaitan pemilihan benih berkualiti.

  3. Kassim 30/08/2017 at 11:45 am - Reply

    Ada tak pihak Tuan menyediakan biji benih yg bekualiti untuk pasaran online. Jika tiada apa kah brand yg baik untuk dibeli…

  4. Hajah Ani 01/09/2017 at 5:56 am - Reply

    Berapa.lama buah cili menjadi merah atau masak?
    Bilakah waktu yg sesuai memetik buah cili?

    • Izham Alias 01/09/2017 at 6:41 am - Reply

      Boleh tuai selepas 8-10 minggu kita tanam. Waktu sesuai adalah di awal pagi.

  5. Khuriah bt Hj Shuib 18/09/2017 at 7:51 am - Reply

    saya ada menanam pokok cili dan menghadapi masalah tersebut tetapi tidak pada pokok cili yang tumbuh sendiri…ada beberapa pokok cili yang tumbuh sendiri disekitar rumah saya, cili ini sangat pedas dan disukai oleh burung…saya rasa itu pastinya cili burung. ia tumbuh dengan subur dan berbuah lebat…saya terpaksa berebut dengan burung…kalau lambat petik saja pasti ia menjadi habuan burung…walau bagaimana pun saya amat gembira dengan anugerah Allah itu..
    Terima kasih En. Izham kerana berkongsi tips untuk penanaman cili..

  6. Anazainal 20/09/2017 at 2:01 pm - Reply

    kenapa pokok cili saya tidak berbuah

    • Izham Alias 20/09/2017 at 3:38 pm - Reply

      Pokok cili akan mula berbunga setelah membentuk cabang Y. Biasanya sekitar umur 6-8 minggu selepas bercambah.

      Namun jika pokok cili masih tidak berbunga lebih daripada 2 bulan, mungkin kerana:

      1. Tidak cukup baja
      2. Tanah yang digunakan terlalu berasid
      3. Tak cukup cahaya matahari

      Penyelesaian:
      1. Bagi baja yang sesuai (cari di kedai pertanian/nurseri pokok baja buah)
      2. Gunakan tanah yang bagus
      3. Pastikan pokok cili mendapat 6-8 jam cahaya matahari terus tanpa terlindung oleh mana-mana objek atau pokok

  7. Hasif 26/09/2017 at 11:02 pm - Reply

    Salam.. saya ada tanam cili api kampung.. masalah nya bila dah petik pokok mula kuning dan mati.. mmg ibu pkok biji benih yg sy semai ada masalah yg sama.. ada x biji benih cili api kg yg berkualiti? Terima kasih tuan

Leave A Comment