Cara Membuat Vermikompos (Baja Tahi Cacing) di Rumah

baja vermikompos cacing kompos african nigth crawlers ANC Malaysia

Vermikompos atau baja tahi cacing tanah ialah baja organik yang terhasil daripada sisa organik yang dimakan oleh cacing tanah. Vermikompos sangatlah bagus kerana dapat menambah kesuburan tanah dan pokok, meningkatkan imuniti pokok melawan serangan serangga perosak dan penyakit dan nutrien tersedia yang mudah diserap terus oleh tumbuhan.

Pembuatan vermikompos di rumah tidaklah susah. Saya akan ceritakan langkah dan cara dalam penulisan kali ini.

Mari kita rungkai dahulu istilah vermikompos ini agar kita lebih memahami tentangnya. Vermi adalah perkataan Latin yang bermaksud cacing. Manakala kompos adalah baja organik hasil uraian sisa organik.

Orang Inggeris menggabungkan dua perkataan tersebut menjadi vermicompost atau terjemahan dalam bahasa Melayu sebagai baja tahi cacing. Jika di Indonesia, mereka memanggilnya sebagai kascing iaitu terjemahan daripada perkatan vermicast. Cast di sini bermaksud sisa buangan.

Vermicast = sisa bungan cacing

Cacing tanah yang digunakan untuk penghasilan vermikompos adalah jenis cacing tanah khas untuk vermikompos yang juga digelar sebagai cacing kompos.

Kenapa perlu vermikompos?

Persoalan ini penting sebelum kita pergi jauh tentang cara membuat vermikompos di rumah kita sendiri.

Sebuah keluarga dengan 4 ahli menghasilkan 1kg sampah sehari.[1] Daripada jumlah tersebut, 44% adalah sisa organik.[2] Sisa dapur itu jika dibuang ke tapak pelupusan sampah akan mengambil masa untuk terurai dek tercampur pelbagai bahan keras lain.

Kita sebagai pekebun boleh menukarkan sisa tersebut ke dalam bentuk baja yang bagus untuk keluarga kita. Penukaran baja ini bukanlah sukar. Dengan menggunakan cacing kita dapat menukarkan sisa dapur tersebut dengan cepat berbanding kaedah pengkomposan biasa.

Boleh dikatakan kita pekebun rumah mampu mendapat baja percuma setiap hari hasil daripada sisa dapur kita sahaja. Kita mampu menjimatkan sebanyak 15% kos kebun kita setiap bulan.

Jika penjimatan bukanlah tujuan utama anda, tentunya dengan mengetahui kebaikan vermikompos akan menambah semangat anda untuk menghasilkan sendiri baja bagus ini.

Kebaikan dan Kelemahan Baja Vermikompos

Terdapat banyak kebaikan dalam baja vermikompos. Antaranya adalah:

  • Bertindak sebagai baja organik
  • Mengembali dan mengikat nutrien dan karbon dalam tanah
  • Meningkatkan kesuburan tanah
  • Mengstabilkan pH tanah
  • Menyerap dan meningkatkan kandungan air di dalam tanah
  • Kandungan mikrob sepuluh kali ganda berbanding kompos biasa
  • Menekan mikrob jahat (patogen) daripada menyerang tanaman
  • Meningkatkan rintangan pokok terhadap serangan serangga perosak
  • Memberikan hormon tumbesaran pada pokok dan seterusnya meningkatkan hasil tanaman
  • Memulihkan tanah yang telah tercemar

Sesuatu produk tidak akan lari daripada kelemahannya. Antara kelemahan baja vermikompos adalah:

  • Kandungan nutrien yang sedikit berbanding baja kimia
  • Penjagaan perlu lebih rapi berbanding baja organik lain seperti perlu sentiasa lembab dan disimpan di dalam tempat dingin dan gelap atau tidak terkena cahaya matahari terus. Ini agar mikrob baik di dalam baja ini kekal hidup
  • Perlu diguna segar kerana kualiti menurun selepas setahun daripada tarikh baja dibuat

Cacing Untuk Vermikompos

Penghasilan baja vermikompos memerlukan cacing tanah yang khusus. Cacing tanah ini perlu mempunyai ciri-ciri boleh memakan sisa organik dengan banyak, tidak memerlukan tanah untuk hidup, cepat membiak dan tidak lari dalam kawasan ternakan. Jika ingin mengetahui lebih lanjut berkaitan cacing vermikompos ini boleh rujuk Penternakan Cacing VermikomposOpens in a new tab..

Setelah membuat beberapa kajian, para saintis mendapati 5 spesis cacing yang sesuai untuk diternak bagi tujuan penghasilan vermikompos.

Cacing tersebut adalah:

emel kebun bandar
  1. Cacing biru Malaya – Perionyx excavatus
  2. Cacing afrika (African Night Crawler) – Eudrilus eugeniae [beli siniOpens in a new tab.]
  3. Cacing harimau – Eisenia fetida
  4. Cacing merah – Lumbricus rubellus
  5. Cacing Eropah – Eisenia hortensis

Antara semua cacing kompos yang dinyatakan, berdasarkan pengalaman saya, dua spesis cacing paling sesuai untuk pemula adalah cacing harimau dan cacing afrika (ANC). Kedua-dua spesis ini jinak dan mudah diternak di dalam kotak sesuai untuk skala rumah. Untuk permulaan, cukup dengan 50-100g cacing sudah memadai. Boleh dapatkan cacing ANC di siniOpens in a new tab..

Walaupun cacing biru adalah cacing natif atau asal dari Malaysia, ia tidak sesuai untuk pemula kerana sifatnya yang suka merantau. Jika dimasukkan ke dalam kotak, kadar untuk ia lari adalah tinggi.

Langkah Awal Membuat Vermikompos

Langkah awal membuat vermikompos adalah:

  1. Sediakan kotak cacing
  2. Sediakan media untuk cacing tinggal
  3. Sediakan makanan cacing
  4. Penjagaan
  5. Tuai baja tahi cacing

Kotak Cacing

Membuat vermikompos mudah sahaja. Tong atau kotak plastik cacing boleh dibeli atau dibuat sendiri, boleh hadir dalam pelbagai bentuk dan saiz.

Untuk cuaca seperti di Malaysia, pastikan kotak cacing rendah, sekitar 20-35 cm tinggi, dengan lubang pengairan di dasar kotak. Jika terlalu dalam, akan menghasilkan bau yang tidak menyenangkan.

Kotak ini boleh diletak di dalam rumah, di belakang dapur atau kawasan yang gelap dan sejuk. Ingat, cacing tidak suka tempat bercahaya dan panas. Jika kita ingin letak di kebun, pastikan kawasan kotak di kebun belakang rumah kita itu tidak terkena cahaya matahari walaupun sekejap.

Jika rasa was-was dengan kemahiran membuat sendiri kotak cacing ini, saya sarankan anda beli sahaja kotak yang telah dibuat khas untuk cacing ini. Boleh klik sini untuk dapatkan kotak cacingOpens in a new tab..

Kotak cacing vermikompos. Lokasi paling sesuai adalah tempat gelap dan tidak terkena cahaya matahari. (beli siniOpens in a new tab.)

Media Cacing Tinggal

Kotak cacing perlu diisi dahulu dengan media untuk cacing tinggal. Media ini bertindak sebagai penampan jika berlaku sebarang peningkatan suhu pada makanan yang kita berikan.

Media ini boleh jadi:

  • Surat khabar lama yang dicarik-carik halus
  • Kotak kertas yang dicarik-carik halus
  • Sabut kelapa hancur atau cocopeat
  • Lumut gambut atau peatmoss

Rendam media penampan ini di dalam air. Kekalkan 40-70% kelembapan. Bagaimana hendak tahu? Ambil media dan cuba perahkan. Jika keluar air menitis bermakna kelembapan itu pada tahap yang sesuai. Jika banyak lelehan air sebelum diperah dan semasa perah bermakna media terlebih air. Manakala jika tidak keluar air langsung ketika genggam ini tanda kurang air.

Untuk kesan yang lebih bagus, eloklah rendam media dengan larutan EM. EM atau nama penuhnya Effective Microorganisms membantu mempercepatkan proses penguraian media untuk cacing tinggal. Penguraian ini membantu untuk cacing memakan media dengan lebih cepat. Anda boleh rujuk penulisan saya tentang EM untuk maklumat lanjutOpens in a new tab..

Seterusnya penuhi separuh kotak dengan media ini. Separuh lagi akan kita isi dengan makanan cacing. Media yang paling saya suka guna adalah cocopeat (beli siniOpens in a new tab.) dan peatmoss (beli siniOpens in a new tab.) kerana mudah didapati.

Ingat, kita tidak menggunakan langsung tanah kerana cacing kompos tidak memakan tanah. Jadi media ini langsung tiada tanah.

Setelah media siap disediakan barulah anda mula meletakkan cacing ke dalam kotak. Cukup bermula dengan 50-100g cacing ANC (beli siniOpens in a new tab.) dahulu. Lama-kelamaan cacing ini akan membiak.

100g cacing kompos sudah memadai. Ini adalah cacing african nightcrawlers (ANC).

Makanan Cacing

Hampir semua sisa dapur boleh kita gunakan untuk menghasilkan baja organik.

Senarainya adalah:

  • sisa sayur seperti kangkung, sawi, lobak merah, bayam dan lain-lain
  • sisa kulit buah seperti pisang, longan, rambutan, durian dan lain-lain
  • cengkerang telur yang telah dikisar halus

Senarai tidak boleh diletakkan ke dalam kotak cacing:

  • sisa daging
  • sisa ikan
  • sisa makanan dimasak terutama yang berminyak
  • tulang
  • lemon, limau dan adik-beradiknya
  • sisa bawang seperti bawang merah, bawang besar dan bawang putih

Cara terbaik masukkan makanan cacing ini adalah dengan meletakkan bersebelahan dengan media tinggal cacing. Perlahan-lahan sisa organik ini terurai. Biasanya cacing kompos akan tunggu sisa dapur mereput sedikit sebelum memakannya.

Pada peringkat permulaan, eloklah letak dalam 3-4 genggam sahaja makanan cacing ini. Lihat bagaimana reaksi cacing terhadap makanan diberi. Anda boleh tahu cacing makan apabila dalam masa 3-4 hari selepas letak makanan anda akan nampak kelibat cacing pada makanan tersebut.

Paling bagus jika anda dapat sembur EM1Opens in a new tab. dahulu pada makanan sebelum masukkannya ke dalam kotak. EM1 akan mempercepatkan proses pereputan sisa makanan ini. Seterusnya akan memudahkan cacing untuk menghadam makanan tersebut.

Penjagaan

Untuk penjagaan, empat perkara ini perlu sentiasa diperhatikan iaitu kelembapan, suhu, keasidan dan musuh cacing. Demi masa, anda akan dapat kemahiran ini. Yang penting mula dahulu.

Untuk cacing afrika, kelembapan sekitar 60-80% masih boleh diterima.

Untuk suhu pula, eloklah beli termometer untuk mengukur suhu makanan. Cacing afrika boleh bertahan sekitar suhu 15-35 oC. Apabila suhu atas 35 oC, cacing akan mula bertindakbalas dengan keluar dari kotak.

Dua jenis termometer boleh digunakan:

  • termometer digital (beli siniOpens in a new tab.) – Sesuai untuk kedalaman sekitar 15 cm ke bawah.
  • termometer analogi (beli siniOpens in a new tab.) – Sesuai untuk kedalaman 30 cm ke atas.

Tergantung pada jenis kotak yang anda gunakan. Jika anda rasakan media yang anda guna sedikit, eloklah guna termometer digital. Jika banyakdan tinggi, bolehlah guna termometer analog.

Persekitaran yang sesuai untuk kotak cacing adalah tempat tidak terkena cahaya matahari dan tidak panas. Di dalam rumah atau di bawah pokok sangat sesuai.

Manakala untuk musuh cacing adalah:

  • Lipan
  • Katak
  • Tikus
  • Burung
  • Semut
  • Cengkerik

Pastikan musuh-musuh ini tidak masuk ke dalam kotak cacing dan mengganggu cacing anda.

Penuaian

Cacing kompos memakan lebih kurang beratnya dalam sehari. Contoh jika kita gunakan 100g cacing afrika, maka ia akan memakan sebanyak 100g makanan sehari. Dalam masa 10 hari, cacing kompos ini akan memakan sebanyak 1,000 g makanan. Daripada itu, akan terhasil sekitar 50-60% tahi cacing.

Jika kita ikut kiraan 1,000g makanan, maka sekitar 600g vermikompos akan terhasil.

Jadi kita boleh jangka dalam masa sebulan, kita boleh mula menuai baja vermikompos dalam kotak cacing kita.

Bagaimana nak tahu sisa dapur telah jadi vermikompos? Apabila sisa makanan yang diberikan tidak ada lagi rupa asal, berwarna perang gelap dan berbau seakan tanah.

Cara Guna Baja Vermikompos

Vermikompos kaya dengan mikrob baik di dalamnya. Mikrob dalam vermikompos ini lah banyak membantu dalam memberi manfaat kepada tumbuhan.

Untuk semaian benih:

  • Anda boleh guna 100% vermikompos untuk semai benih atau
  • membuat campuran dengan peatmoss atau cocopeat halus dengan nisbah 1:1

Untuk sayur daun berikan sekitar segenggam se pokok pada kekerapan dua minggu sekali.

Untuk sayur buah seperti cili, terung, tomato dan kacang, boleh berikan 2-3 genggam se pokok apabila pokok mula berbunga dengan kadar kekerapan dua minggu sekali. Sebelum itu, boleh gunakan saranan sebanyak segenggam dua minggu sekali per pokok.

Vermikompos paling bagus digaul bersama tanah dan tidak dibiarkan terdedah terkena cahaya matahari. Cahaya matahari mengandungi sinar ultra violet yang mampu mematikan semua mikrob baik di dalam vermikompos. Ini seterusnya akan mengurangkan keberkesanan vermikompos terhadap tanaman.

Pokok tin diberi baja vermikompos.

Vermikompos sebagai Racun Organik

Selain baja, vermikompos boleh dijadikan sebagai booster yang mampu meningkatkan imunisasi pokok terhadap serangan serangga perosak seperti afid, kepinding putih (white flies), bena dan koya.

Caranya adalah dengan menukarkan baja vermikompos ke bentuk teh.

Mudah sahaja.

Masukkan 3-4 genggam baja vermikompos ke dalam baldi 5L berisi air tanpa klorin (air hujan adalah yang terbaik). Jika tiada air hujan, air tapis seperti cuckoo atau coway tetap boleh digunakan. Letak di tempat redup dan biarkan selama 24-48 jam. Kacau setiap 4-6 jam jika sempat. Jika tak sempat, biarkan begitu sudah memadai.

Nak lagi bagus, masukkan pam oksigen (beli siniOpens in a new tab.) berserta batu udara (beli siniOpens in a new tab.) sepanjang tempoh peraman. Pemberian oksigen yang berterusan ini akan meningkatkan jumlah bakteria baik dalam larutan vermikompos.

Selepas 24-48 jam, tapis larutan tersebut. Maka terhasilah teh vermi atau vermitea.

Campurkan vermitea bersama air tanpa klorin seperti air hujan dengan nisbah 1:10. Sembur pada atas dan bawah daun setiap 7-10 hari. Jika serangan perosak sangat teruk, sembur pekat tanpa campuran dengan air hujan. Sembur selama tiga hari berturut-turut. Selepas itu sembur seperti biasa.

Kesimpulan

Pembuatan baja vermikompos bukanlah sukar apabila kita sudah mengetahui asasnya. Diharapkan penulisan saya ini mampu memberi panduan ringkas untuk anda mula vermikompos di rumah.

Untuk sokongan tambahan, saya sarankan anda menyertai Facebook Group Vermicompost MalaysiaOpens in a new tab.. Group tersebut sarat dengan perkongsian tentang cacing kompos dan kaedah vermikompos yang sesuai dengan iklim dan budaya rakyat Malaysia.

Rujukan

  1. https://www.thesundaily.my/local/households-generate-largest-amount-of-food-waste-YM790098Opens in a new tab.
  2. https://www.theedgemarkets.com/article/malaysian-households-lose-rm210-month-food-waste-disposal-costs-says-reezal-mericanOpens in a new tab.
  3. Mardi – http://ebuletin.mardi.gov.my/buletin/10/Penghasilan%20vermikompos.pdfOpens in a new tab.
  4. Hukum – https://e-muamalat.islam.gov.my/en/bahan-ilmiah/fatwa-muamalat/98-hukum-menternak-dan-menjual-lintah-dan-cacing-untuk-tujuan-perubatan-dan-kosmetikOpens in a new tab.
emel kebun bandar

Izham Alias

Saya adalah graduan Bacelor Sains Hortikultur, Fakulti Pertanian UPM. Minat membaca dan menulis tentang dunia berkebun di rumah. Kini bekerja sebagai pensyarah agroteknologi di ... kenali lanjut penulis (klik sini)

Tags

Share

  1. Assalamulaikum sir . saya nak tahu cacing ni boleh hasilkan tinja berapa lama selepas cacing ni makan . Dalam beberapa hari atau minggu ?

  2. Insya-Allah pada masa akan datang. Harga cacing 100 gram adalah RM25-45

  3. boleh sir tunjukkan..prosedur menghasilkan tong vermikompos ni?..dan..cacing ni harga berapa?

  4. Saya mencari cacing,mana boleh beli
    0183278155

  5. Boleh.

  6. cacing tanah biasa boleh guna? ataupun guna cacing import

  7. Berapa lama nk hasilkan kompos guna cacing ni

  8. biasa..brape lame bru boleh guna vermikompos ni? cacing ni cacing spesis apa?

  9. Assalam. Suka vermikompos. Dulu projek tahun akhir saya pasal ni. Bila nampak najis cacing mula ada atas permukaan tanah, seronok kutip. Berniat nak buat juga tong vermikompos di rumah tapi belum bersedia takut cacing tak terjaga. Terima kasih perkongsian ini.

  10. tau cacing antara agen terbaik nak tolong suburkan tanah tapi geliiii… =(

  11. Boleh beli di kedai ikan biasanya ada jual.

  12. di mana saya boleh dapatkan cacing tanah ni

  13. Perlu simpan tempat yang redup agar cacing tidak mati kepanasan.

  14. Salam. Bagaimana pula kaedeh penyimpanan? Redup, sepsaruh cahaya atau cahaya penuh? Terima kasih

Anda Mungkin Berminat:

error: Content is protected !!