Ramai bertanya kepada saya meminta penjelasan berkenaan hibrid ini. Terutama apabila isu pokok buah hybrid timbul di media sosial. Jom kita baca penerangan yang saya hasilkan ini.

Tanaman hybrid atau hibrid adalah hasil daripada pendebungaan silang antara dua varieti tumbuhan yang berlainan. Benih daripada proses itu diambil dan ditanam. Tumbuhan yang tumbuh daripada hasil benih pendebungaan silang itu dikatakan hibrid.

Apakah Pokok Hibrid?

Penghibridan komersial dilakukan bagi mendapatkan beberapa ciri daripada varieti tanaman kepada bibit. Ciri-ciri itu mungkin seperti rintang penyakit, saiz tumbuhan, bunga atau buah, bunga yang banyak, warna, rasa atau mana-mana ciri tumbuhan yang dianggap istimewa. Kebanyakan tumbuhan moden yang dijual di pasaran adalah dalam bentuk hibrid.

Bagaimana Tanaman Hibrid Terhasil?

Untuk penyilangan awal, debunga daripada tumbuhan induk dipindahkan kepada bunga varieti lain. Sebelum itu, pembiakbaka (breeder) perlu membuat keputusan tumbuhan mana yang akan dijadikan sebagai betina (pistil) dan yang mana akan diambil debunganya (stamen, bahagian jantan). Seterusnya barulah stamen dibuang daripada tumbuhan betina supaya ia tidak debunga sendiri. Buah yang terhasil daripada kaedah ini kemudiannya dituai. Biji benih buah itu dikumpulkan.

Benih penyilangan kali pertama akan ditanam untuk tahun seterusnya. Tanaman yang tumbuh dinilai. Jika tanaman itu seperti yang pembiakbaka inginkan, persilangan akan dijalankan sekali lagi. Biji benih itu kemudian akan dipasarkan pada tahun berikutnya.

Nampak mudah, bukan? Namun begitu, aktiviti ini boleh makan masa bertahun lamanya sebelum sesuatu benih hibrid dengan ciri-ciri dikehendaki terhasil. Jika pada musim penanaman pertama, pokok hibrid tidak seperti yang pembiakbaka inginkan, mereka terpaksa ulang proses ini semula. Bayangkan hasil keringat mereka selama berbulan lamanya yang terpaksa reset ke kosong.

Jika pembiakbaka berjaya mendapat pemenang hibrid, proses ini terus berlangsung. Biji benih hibrid komersial yang popular, seperti cili ‘Kulai’ dan ‘Bara’, perlu penyilangan, penuaian, seterusnya disimpan setiap tahun. Ini disebut sebagai F1 hibrid (generasi pertama) kerana benih terus daripada produk persilangan induk.

Pembiakbaka yang menghasilkan F1 hibrid ini mempunyai hak pattern terhadap penghasilan itu. Sebab itulah benih F1 hibrid harganya lebih tinggi berbanding benih bukan hibrid. Mereka menjaga proses penghasilan benih hibrid ini dengan teliti.

Apakah Kelebihan Menanam Benih Hibrid?

Kejayaan menanam tumbuhan hibrid di kebun lebih tinggi berbanding benih bukan hibrid (atau kata mudahnya tumbuhan daripada pendebungaan terbuka). Tanaman hibrid jarang sekali diserang penyakit. Tumbuh sekata dan hasilnya pun boleh dikatakan memuaskan hati pekebun.

Bolehkah Saya Simpan Benih daripada Tumbuhan Hibrid?

Oleh sebab ia dibiakkan melalui pendebungaan silang berlainan varieti, benih daripadanya tidak akan menghasilkan benih tulen. Bibit daripada hibrid boleh mempunyai ciri salah satu atau kedua-dua tumbuhan induk atau tumbuh menjadi tanaman yang  pasti mengejutkan anda. Ini akibat daripada pendebungaan sendiri oleh tanaman hibrid yang menghasilkan F2.

Kadang benih daripada tanaman hibrid mandul iaitu tidak tumbuh langsung selepas ditanam. Namun begitu, tidak bermakna kita tidak boleh simpan dan bereksperimen. Kita mungkin boleh bergembira jika benih F2 itu menjadi. Terutama tumbuhan F2 itu berlainan sungguh daripada F1.

Cuma jangan terlalu syok dengan tanaman hibrid itu kerana kita mungkin tidak akan jumpanya lagi pada musim penanaman yang kemudian. Sedih, bukan? Tetapi itulah hakikatnya.

Sekali Hibrid, Akan Terus Hibrid?

Ada kemungkinan apabila benih hibrid stabil dan bertukar menjadi tumbuhan pendebungaan terbuka. Untuk ini terjadi, pelbagai kerja perlu dilakukan terutama aktiviti penanaman benih beberapa musim sehingga genetik hibrid itu stabil. Aktiviti ini mungkin memakan masa bertahun-tahun. Tetapi jangan risau untuk tanaman pendebungaan terbuka kerana ia telah melalui proses rumit ini. Kita tinggal tanam sahaja.

Adakah Pokok Hibrid Tidak Semulajadi?

Memang kebanyakan tumbuhan hibrid komersial dikhaskan daripada penyilangan. Tetapi tahukah kita penghibridan boleh juga berlaku secara semulajadi. Malahan, proses ini kerap berlaku di alam semulajadi. Contohnya apabila dua pokok terung spesis berlainan tumbuh berdekatan boleh terjadi pendebungaan silang oleh serangga atau angin. Hasilnya benih yang terjatuh di atas tanah menjadi tanaman hibrid.

Perlu diketahui bahawa sedikit sahaja bunga dan sayur yang kita tanam hari ini berasal daripada bentuk liar dari hutan.

Di alam semualajadi, hibrid ini proses jadi atau tak jadi sahaja. Manakala hibrid komersial melalui pelbagai kerja renyah dalam menghasilkan ciri benih yang dikehendaki demi pembangunan pertanian dunia.

 

Secara tuntas, boleh saya katakan benih hibrid ini memang ada. Cuma kebanyakan adalah daripada pembiakan melalui biji benih. Apabila ada penjual nurseri menjual pokok buah dikatakan ‘hibrid’ cuba tanya dia nama apa hibrid tersebut? Jika dia memang tidak dapat jawab, ada potensi si penjual itu menipu. Atapun dia sendiri tertipu oleh pembekal yang menipu dia.

Anda hanya akan tahu anda ditipu dengan anak pokok buah hibrid palsu ini hanya selepas tiga tahun tanam. Hasilnya sama sahaja seperti anak pokok buah biasa anda beli di nurseri biasa.

Sudah baca sampai habis? Ada pandangan atau komen yang ingin disampaikan? Komen di bawah dan sama-sama kita bincangkan.

 

Jimat Dari Dapur

Dapatkan Emel Terkini Percuma!

Langgan sekarang dan terima emel berkaitan KebunBandar.com terus ke inbox anda!

*Kami juga membenci spam. Emel anda selamat bersama kami. Anda boleh berhenti langgan bila-bila masa sahaja.